Please use this identifier to cite or link to this item: http://hdl.handle.net/123456789/5693
Title: Kemiskinan jiwa dan pembangunan asnaf
Authors: Nur Azuki Yusuff 
Noor Hisham Md Nawi 
Keywords: kemiskinan jiwa
Issue Date: 2023
Publisher: UMK Press
Abstract: 
Buku yang terdiri dari 10 bab ini merupakan himpunan kertas kerja yang telah dibentangkan dalam satu wacana yang dianjurkan oleh Jabatan Sains Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan. Ia diadakan secara khusus untuk memahami fenomena kemiskinan yang berlaku dalam masyarakat Melayu dalam aspek kemiskinan jiwa dan kaedah pembangunan golongan asnaf. Penulisan ini dibahagikan kepada dua tema besar iaitu kemiskinan jiwa (Bab 1 hingga Bab 5) dan isu miskin harta dan pembangunan asnaf (Bab 6 hingga Bab 10). Tema besar pertama adalah kemiskinan jiwa yang melanda rakyat Malaysia yang dampaknya lebih parah berbanding dengan kemiskinan fizikal atau material. Bab 1 membincangkan tentang konsep kemiskinan dan kekayaan jiwa berasaskan al-Quran dan sunah. Islam tidak menolak definisi kemiskinan atau kekayaan berteraskan pemilikan harta benda. Bagaimanapun kemiskinan atau kekayaan sejati adalah bergantung kepada hati manusia itu sendiri. Rumusan daripada pengajaran kisah-kisah watak manusia dalam al-Quran menjelaskan bahawa kemiskinan jiwa bukan sahaja berlaku dalam kalangan individu miskin harta malahan turut meliputi golongan kaya raya. Strategi pembangunan akhlak dalam Islam berusaha untuk melahirkan golongan miskin bermaruah (tidak meminta minta) dan juga golongan kaya budiman (yang suka membantu). Justeru, Islam membina dan mendidik jiwa manusia agar menerima ketentuan dan ketetapan Allah SWT dan pada masa yang sama berusaha gigih dan 15 berikhtiar mencari rezeki dari Tuhan mengikut kaedah dan peraturan syariat-Nya. Kemiskinan jiwa adalah merujuk kepada situasi seseorang yang tandus akhlak, rendah pekerti, cetek pemikiran dan lemah peribadi yang boleh berlaku kepada seseorang yang miskin dan juga individu yang berharta. Bab 2 menghuraikan makna kemiskinan secara umum dan kemiskinan jiwa secara khusus menurut perspektif al-Quran dan sunah. Seiring dengan fitrah kejadian manusia yang bersifat dual-nature, kemiskinan juga perlu dilihat dari dua aspek iaitu kemiskinan kebendaan dan kemiskinan kejiwaan (kerohanian). Miskin bukan sahaja diukur pada ketidakmampuan seseorang memiliki keperluan material, malahan turut diukur pada ketidakmampuannya memiliki jiwa dan hati yang kaya. Jiwa yang miskin adalah jiwa yang bergantung harap kepada manusia atau pihak lain untuk membolehkannya terus hidup. Kebergantungan ini boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor seperti ketidakcukupan material (sumber fizikal yang terbatas), pemikiran yang negatif, tertutup, tidak kreatif, malas atau ketidakmampuan berfikir, perasaan yang terjajah, terikat, suka bergantung dan memohon belas ihsan orang lain serta lemah keyakinan diri terhadap Tuhan dan ketentuan-Nya. Ini bermakna mereka yang miskin jiwanya sentiasa bergantung kepada pihak luar dan rela meminta-minta. Manakala orang yang kaya jiwa adalah mereka yang merdeka kehidupannya, berusaha gigih dalam kehidupan dan bergantung sepenuhnya kepada Tuhan. Apa yang menarik dalam bab ini ialah kefahaman tentang makna kemiskinan itu dikaitkan dengan impaknya kepada pendekatan dan kaedah pemberian bantuan kepada golongan sasaran. Kefahaman tersebut melahirkan kepelbagaian kategori miskin berdasarkan tema tertentu iaitu kemiskinan luaran dan dalaman, meminta dan tidak meminta serta memberi mudarat dan tidak memberi mudarat. Ketiga-tiga tema ini boleh digabung untuk membentuk profil kemiskinan yang tersendiri. Ini bermakna, pendekatan dan bentuk pemberian bantuan mestilah selaras dengan kategori dan keperluan golongan sasaran dengan mengambil kira bentuk dan dimensi kemiskinan yang dialami. 16 Bab 3 membincangkan kepentingan pentarbiahan untuk mengatasi masalah kemiskinan jiwa. Tarbiah Rasulullah SAW boleh dibahagikan kepada empat iaitu tauhid, akhlak, akliah dan ilmiah, serta jasmani. Penekanan terhadap elemen-elemen ini telah bermula pada peringkat awal penyebaran Islam. Penekanan kepada semua elemen ini meliputi aspek roh, akal dan jasmani telah melahirkan generasi sahabat yang berakhlak mulia serta memiliki sifat-sifat yang unggul dan seimbang. Keempat empat aspek tarbiah ini dianggap sebagai solusi dalam menangani masalah kemiskinan jiwa. Walau bagaimanapun, penulis menggunakan istilah tarbiah secara umum dengan memasukkan segala yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW sebagai tarbiah tanpa membuat batasan dalam konteks waktu (era sebelum atau selepas hijrah) atau bidang kehidupan (sosioekonomi-sosiopolitik). Dalam Bab 4, kemiskinan jiwa dikaitkan sebagai satu fenomena yang boleh berjangkit menerusi lensa psikologi. Kemiskinan jiwa menyumbang kepada terjadinya permasalahan ekonomi, sosial, budaya, etika dan moral. Dalam bab ini, kemiskinan fizikal atau kemiskinan ekonomi lebih diberi tumpuan berbanding kemiskinan jiwa. Menurut penulis, kemiskinan jiwa mempengaruhi pola fikir seseorang yang akan mempengaruhi perilaku dan cara kehidupannya. Baginya, kemiskinan jiwa dapat disamakan dengan “penyakit” yang boleh berjangkit kepada orang lain melalui proses peniruan. Kemiskinan jiwa menurutnya boleh diatasi melalui bacaan al-Quran dan solat kerana kedua-duanya mempunyai tenaga positif yang mampu membuka dan memperkaya minda dan tahap kesedaran jiwa terhadap diri, persekitaran dan masa hadapannya. Kemiskinan jiwa yang berlaku lebih berbahaya berbanding dengan kemiskinan ekonomi kerana ia boleh menyebabkan pelbagai permasalahan lain. Oleh kerana kesannya yang sangat negatif dan boleh berjangkit kepada pihak lain, ia perlu dirawat hingga ke akar umbinya. Bab 5 pula melihat jiwa dari sisi kekayaannya. Perbincangan difokuskan kepada penghayatan etika keagamaan sebagai prasyarat 17 kekayaan jiwa. Bab ini mengetengahkan bahawa etika keagamaan yang dipatuhi semua masyarakat secara takrifan autoriti mahupun takrifan harian dan berpandukan keluhuran Perlembagaan mampu menjadi formula ampuh dalam menangani isu kemiskinan. Namun dalam bab ini, isu pandemik COVID-19 di Malaysia dijadikan sebagai contoh semasa kerana kesannya adalah menyeluruh. Bab 6 mula memfokuskan kepada aspek miskin harta golongan asnaf dan usaha membantu mereka. Islam mengklasifikasikan individu yang perlu diberi bantuan kepada lapan kelompok asnaf. Kewujudan kelompok ini mempunyai hikmat tertentu yang perlu diberi perhatian dan diambil peduli sebaiknya. Syiar Islam terbina bukan dalam bentuk angka bilangan asnaf yang berjaya dikurangkan, tetapi dalam bentuk usaha yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab atau komuniti untuk membawa mereka keluar daripada lingkaran kemiskinan dan tuntutan dhoruriyat semasa mereka. Pelbagai bentuk bantuan dan pengisian diperuntukkan. Penulisan ini melihat beberapa sudut yang boleh membantu pihak berkepentingan dan individu tertentu bagi memulihkan kumpulan asnaf. Antara usahanya ialah melalui pengupayaan fungsi institusi Islam sebagai nadi peradaban Islam dan ummah. Institusi yang berorientasikan Islam amat membantu rakyat khususnya golongan asnaf dalam mengadakan program bantuan dan khidmat masyarakat. Bab 7 dan Bab 8 mengutarakan beberapa institusi yang relevan untuk membantu golongan asnaf tersebut. Institusi Islam yang diketengahkan ialah institusi zakat. Institusi zakat perniagaan contohnya boleh dilihat secara terperinci dalam pemberian sumbangan kepada golongan asnaf berdasarkan konsep model baharu. Selain mengenal pasti lapan kumpulan (asnaf) yang diagihkan zakat, terdapat juga beberapa pemikiran berkenaan dengan definisi asnaf dan tafsiran mereka untuk penerapannya dalam situasi kini. Namun, masalah keberkesanan dalam pengedaran yang bertujuan untuk golongan miskin selalu menjadi perhatian khususnya kesan dalam bidang ekonomi. Institusi zakat berusaha 18 untuk menghasilkan cara yang berkesan bagi golongan miskin untuk menjadi usahawan dan meningkatkan kehidupan sosial dan ekonomi mereka di bawah Program Usahawan Asnaf (AEP). Kumpulan asnaf akan diberi pertolongan dan perhatian oleh pihak tertentu bagi tujuan tersebut. Institusi Zakat bekerjasama dengan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dalam memantau pengetahuan dan kemahiran usahawan asnaf. Program yang dirancang telah disokong sepenuhnya dari sudut memberi pendedahan, pendidikan, pelaksanaan, pemasaran, pemantauan, pengetahuan, perancangan berorientasikan keagamaan dan perundingan. Berdasarkan unsur-unsur yang terdapat dalam model tersebut, diharapkan dapat mencapai matlamat pertumbuhan nasional. Proses yang diterapkan ini turut berkaitan dengan perkhidmatan sokongan oleh pemerintah dan organisasi bukan kerajaan. Usahawan mikro/pengusaha asnaf ini mendapat sokongan kewangan dari pelbagai organisasi. Institusi zakat memberikan bantuan modal dalam meningkatkan keyakinan diri dan produktiviti perniagaan. Bantuan modal ini tidak hanya terhad untuk mengembangkan usahawan asnaf tetapi juga memberi nilai untuk kualiti sosial dan moral. Selain daripada sumbangan positif dalam ekonomi dan sosial, sokongan daripada kerajaan dan bukan kerajaan terhadap usahawan asnaf adalah penting. Ia mendorong peningkatan positif kutipan zakat melalui pengusaha asnaf berdasarkan Model Pergantian ini. Bab 9 membincangkan pembangunan asnaf dari aspek penerapan konsep tazkiyah al-nafs (pembersihan jiwa) bagi membina mereka sebagai mukmin sejati. Penyucian jiwa adalah salah satu perkara terpenting dalam agama Islam. Islam menekankan kepentingan tazkiyah al-nafs sehingga ia menjadi salah satu tujuan perutusan Nabi Muhammad SAW. Tazkiyah al-Nafs ialah suatu proses pendidikan jiwa seseorang manusia yang berbentuk penyucian dalaman dan luaran supaya dapat mengekang kemahuan dan sifat buruk yang memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan kecelaruan tingkah laku. Sebagaimana pentingnya penekanan 19 terhadap aspek kesihatan fizikal, aspek kesihatan spiritual juga perlu diberi penekanan kerana jiwa yang kotor akan membuat manusia terhijab daripada pertolongan Allah SWT. Manakala Bab 10 memberi tumpuan kepada aspek analisis demografi penerima zakat dalam kalangan pelajar di institut pengajian tinggi. Zakat adalah bantuan untuk golongan asnaf yang tidak dapat menampung keperluan hidup. Zakat diberikan kepada mereka dalam bentuk wang ringgit atau keperluan harian. Secara amnya, penerima zakat di IPT terdiri dari lapan golongan asnaf sebagaimana yang telah dinyatakan sebelumnya. Pemberian zakat dalam kalangan pelajar asnaf di Institut Pengajian Tinggi pada kebiasaannya di bawah tanggungjawab Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP). Bantuan zakat pendidikan memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup pelajar dari keluarga asnaf fakir dan miskin. Hasil kajian keberkesanan pengagihan zakat kepada golongan fi sabilillah mendapati bahawa pelajar berpuas hati dengan proses yang dilaksanakan. Kesan dari penerimaan zakat tersebut, responden berpendapat ia telah mengurangkan bebanan pengajian mereka di IPT.
Description: 
Mapim
URI: http://hdl.handle.net/123456789/5693
ISBN: 978-967-0021-90-4
Appears in Collections:Books (Others) - FBI

Files in This Item:
File Description SizeFormat
KEMISKINAN JIWA DAN PEMBANGUNAN ASNAF (3)- isi kandungan & bab 1 -1-20.pdf59.03 MBAdobe PDFView/Open
Show full item record

Google ScholarTM

Check

Altmetric


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.